EXCO SESI 2019/2021

EXCO SESI 2019/2021

Monday, 17 June 2013

PERUTUSAN PRESIDEN KESAKTI SESI 2011-2013

Assalamualaikum,

 

Semua ahli KESAKTI yang dihormati,

 

Alhamdulillah bersyukur kehadrat Ilahi kerana kita semua masih diberi kesihatan tubuh badan yang baik untuk terus menjalani kehidupan seharian dengan aman dan sempurna. Sebagaimana sedia maklum, Mesyuarat Agung Dwi Tahunan KESAKTI kali ke-19 bagi pemilihan pegawai KESAKTI untuk sesi 2013-2015 akan diadakan pada 29 Jun 2013 (Sabtu) bertempat di TaHa D’Kelana jam 8.00 pagi. Ini bermakna pegawai KESAKTI bagi sesi 2011-2013 akan tamat penggal mereka tidak lama lagi.

 

Justeru, saya amat berharap agar semua ahli KESAKTI dapat meluangkan masa untuk hadir beramai-ramai, kerana menghadiri mesyuarat agung merupakan satu kewajipan kepada semua ahli kesatuan yang sah. Dalam sibuk kita bertanding dan berkempen untuk calon-calon pilihan, jangan lupa adab dan tertib hendaklah dijaga. Elakkan budaya fitnah-memfitnah dan memburukkan antara satu sama lain. Bertanding dan berkempenlah dalam keadaan suasana yang sihat dan professional. Tunjukkan kematangan kita berkesatuan agar menjadi panduan dan kebanggaan pihak luar yang sentiasa memerhatikan kita semua.

 

Saya amat berharap calon-calon yang bakal dilantik akan lebih dinamik, komited dan memiliki setiakawan yang teguh dan dapat menggerakkan KESAKTI secara tersusun dan berdisiplin, disamping melaksanakan amanah yang diberikan dengan jujur dan dedikasi demi kesatuan yang dicintai ini terus disegani oleh pihak majikan dan luar.

 

Kepada ahli-ahli, undi dan pilihlah calon-calon yang berwibawa demi kesinambungan perjuangan KESAKTI dalam membela hak dan nasib kaum pekerja bawahan di TH. Undi tuan/puan adalah penentu halatuju KESAKTI di masa hadapan. Ambillah kesempatan ini sebaik mungkin dan jangan terlepas peluang untuk memilih calon pilihan masing-masing.

 

Ahli-ahli/tuan/puan yang dihormati sekalian,

 

Tanggal 2 Julai 2013 genaplah usia KESAKTI 37 tahun ditubuhkan. Pelbagai onak dan duri telah ditempohi dengan gigih oleh pemimpin-pemimpin terdahulu hinggalah sekarang dalam usaha menjaga kebajikan ahli-ahlinya terbela tanpa rasa penat dan jemu. Banyak kejayaan manis telah dikecapi sepanjang tempoh tersebut yang mana faktor utama kejayaan itu ialah pengorbanan para pemimpinnya dalam menjalankan amanah yang diberikan oleh semua ahli.

 

Pengorbanan dengan kehidupan manusia tidak boleh dipisahkan. Sesungguhnya setiap kejayaan perlu kepada pengorbanan. Bak kata pepatah Melayu: 'kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya'.

 

Qudwah kita Rasulullah S.A.W juga pernah bersabda: “Ketahuilah sesungguhnya kemenangan bersama kesabaran, dan kelapangan bersama kesusahan. Sesungguhnya berserta kesukaran itu ada kemudahan” (Hadis No. 19 Matan Arba’ien).

 

Berikut disertakan beberapa isu besar yang telah dan sedang diselesaikan oleh pegawai KESAKTI sesi 2011-2013:

 

1. Pembekuan Cuti Raya Tahun 2012 Pejabat Cawangan:

Berjaya mengumpul ratusan tandatangan ahli membantah cuti dibeku. Tahniah kerana ujud kesatuan yang erat dikalangan ahli apabila isu ini timbul.

 

2. Ganjaran Persaraan:

Lulus melalui Surat Pekeliling TH Bil. 1/2013.

 

3. Imbuhan Tetap Perumahan (ITP):

Lulus melalui Surat Pekeliling TH Bil. 1/2013 tetapi KESAKTI tidak bersetuju bayaran RM180.00 untuk anggota K9 ke bawah. Permohonan KESAKTI supaya dikaji semula ITP ini telah dihantar dan mendapat reaksi positif di pihak majikan. Sama-sama kita tunggu hasilnya.

 

4. Penambahbaikan Caruman KWSP Syer Majikan sehingga 20%:

Lulus melalui Surat Pekeliling TH Bil. 1/2013.

 

5. Skim Dana Pencen:

Masih diperingkat kajian. Sebelum ini Gabungan 7 Agensi Badan Berkanun Diasingkan (BBDS) telah mengadakan bengkel dan membuat bancian kepada ahli-ahli BBDS untuk merealisasikannya. Bengkel berkaitan dengannya akan diadakan dari masa ke semasa.

 

6. Anggota K9:

Kertas kerja mengenai penambaikan anggota gred K9 dikaji semula telah dihantar kepada majikan. Ia dalam perhatian.

 

7. Skim Gaji Anggota Teknikal:

Majikan telah menerima kertas kerja berkaitan. Beberapa surat susulan telah dihantar. Ia masih dalam perhatian majikan.

 

8. Prestasi Tahunan Anggota (PMS):

Isu tahunan yang dibangkitkan setiap tahun. Anggota tidak dinilai dengan adil. KESAKTI telah memberi perhatian serius ketidakpatuhan majikan dalam menilai anggota yang tidak mengikut kriteria yang ditetapkan.

 

Akhir kata, saya memohon maaf sekiranya terdapat salah dan silap sepanjang memimpin KESAKTI untuk tempoh 2 tahun ini. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua AJK, sekretariat (2011-2013) dan semua ahli yang telah banyak memberikan kerjasama dan sokongan demi kejayaan KESAKTI. Saya berdoa dan berharap agar Mesyuarat Agung Dwi Tahunan kali ke-19 ini dapat dijalankan dengan lancar dan mencapai matlamatnya. Marilah kita jadikan perjumpaan di dalam mesyuarat agung ini sebagai satu wadah untuk mencambah fikiran serta mencari kata sepakat secara matang dan harmoni di dalam kita mengatur langkah dan gerak kerja.

 

Selamat mengundi dan bersidang.

 

Sekian, terima kasih.

 

BAHARUDIN BIN IDRIS

Presiden

Kesatuan Kakitangan Lembaga Tabung Haji (KESAKTI)

Tarikh: 7 Jun 2013

Wednesday, 12 June 2013

Mesyuarat Agung Dwi Tahunan KESAKTI kali ke-19

Assalamualaikum,

Semua ahli KESAKTI,

Jangan lupa hadir beramai-beramai ke Mesyuarat Agung Dwi Tahunan KESAKTI kali ke-19 pada 29 Jun 2013 (Sabtu) bertempat di TaHa D'Kelana (Dewan Jugra) jam 8.00 pagi.

Diharapkan tuan/puan mengembalikan kertas undi yang telah dipangkah sebelum atau pada 18 Jun 2013.  Undilah calon-calon yang berwibawa bagi memimpin kesatuan pada masa akan datang dengan lebih cemerlang. 

Hebah dan salurkan maklumat penting ini kepada semua ahli yang tidak mempunyai kemudahan internet.

Sebarang pertanyaan sila tel/faks: 03-21611487 (pejabat KESAKTI).

Terima kasih.

Saturday, 8 June 2013

PENJAWAT AWAM TERUS BERPOLITIK DIKENAKAN TINDAKAN - KSN

http://cuepacs.blogspot.com/2013/06/penjawat-awam-terus-berpolitik.html

KUALA LUMPUR 4 Jun - Para penjawat awam yang masih berpolitik akan dikenakan tindakan berdasarkan peraturan, pekeliling dan undang-undang yang termaktub di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, pihaknya telah meminta ketua-ketua jabatan untuk memantau sekiranya terdapat penjawat awam yang masih berpolitik di laman sosial. - UTUSAN ONLINE