EXCO SESI 2019/2021
Monday, 17 June 2013
PERUTUSAN PRESIDEN KESAKTI SESI 2011-2013
Assalamualaikum,
Semua ahli KESAKTI yang dihormati,
Alhamdulillah bersyukur kehadrat Ilahi kerana kita semua
masih diberi kesihatan tubuh badan yang baik untuk terus menjalani kehidupan
seharian dengan aman dan sempurna. Sebagaimana sedia maklum, Mesyuarat Agung
Dwi Tahunan KESAKTI kali ke-19 bagi pemilihan pegawai KESAKTI untuk sesi
2013-2015 akan diadakan pada 29 Jun 2013 (Sabtu) bertempat di TaHa D’Kelana
jam 8.00 pagi. Ini bermakna pegawai KESAKTI bagi sesi 2011-2013 akan tamat
penggal mereka tidak lama lagi.
Justeru, saya amat berharap agar semua ahli KESAKTI dapat
meluangkan masa untuk hadir beramai-ramai, kerana menghadiri mesyuarat agung
merupakan satu kewajipan kepada semua ahli kesatuan yang sah. Dalam sibuk kita
bertanding dan berkempen untuk calon-calon pilihan, jangan lupa adab dan tertib
hendaklah dijaga. Elakkan budaya fitnah-memfitnah dan memburukkan antara satu
sama lain. Bertanding dan berkempenlah dalam keadaan suasana yang sihat dan
professional. Tunjukkan kematangan kita berkesatuan agar menjadi panduan dan
kebanggaan pihak luar yang sentiasa memerhatikan kita semua.
Saya amat berharap calon-calon yang bakal dilantik akan lebih
dinamik, komited dan memiliki setiakawan yang teguh dan dapat menggerakkan
KESAKTI secara tersusun dan berdisiplin, disamping melaksanakan amanah yang
diberikan dengan jujur dan dedikasi demi kesatuan yang dicintai ini terus
disegani oleh pihak majikan dan luar.
Kepada ahli-ahli, undi dan pilihlah calon-calon yang
berwibawa demi kesinambungan perjuangan KESAKTI dalam membela hak dan nasib
kaum pekerja bawahan di TH. Undi tuan/puan adalah penentu
halatuju KESAKTI di masa hadapan. Ambillah kesempatan ini sebaik mungkin dan
jangan terlepas peluang untuk memilih calon pilihan masing-masing.
Ahli-ahli/tuan/puan yang dihormati sekalian,
Tanggal 2 Julai 2013 genaplah usia KESAKTI 37 tahun
ditubuhkan. Pelbagai onak dan duri telah ditempohi dengan gigih oleh
pemimpin-pemimpin terdahulu hinggalah sekarang dalam usaha menjaga kebajikan
ahli-ahlinya terbela tanpa rasa penat dan jemu. Banyak kejayaan manis
telah dikecapi sepanjang tempoh tersebut yang mana faktor utama kejayaan itu
ialah pengorbanan para pemimpinnya dalam menjalankan amanah yang diberikan oleh
semua ahli.
Pengorbanan dengan kehidupan manusia tidak boleh dipisahkan.
Sesungguhnya setiap kejayaan perlu kepada pengorbanan. Bak kata pepatah Melayu:
'kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya'.
Qudwah kita Rasulullah S.A.W juga pernah bersabda: “Ketahuilah
sesungguhnya kemenangan bersama kesabaran, dan kelapangan bersama kesusahan.
Sesungguhnya berserta kesukaran itu ada kemudahan” (Hadis No. 19 Matan
Arba’ien).
Berikut disertakan beberapa isu besar yang telah dan sedang
diselesaikan oleh pegawai KESAKTI sesi 2011-2013:
1. Pembekuan Cuti Raya Tahun 2012 Pejabat Cawangan:
Berjaya mengumpul ratusan tandatangan ahli membantah cuti
dibeku. Tahniah kerana ujud kesatuan yang erat dikalangan ahli apabila isu ini
timbul.
2. Ganjaran Persaraan:
Lulus melalui Surat Pekeliling TH Bil. 1/2013.
3. Imbuhan Tetap Perumahan (ITP):
Lulus melalui Surat Pekeliling TH Bil. 1/2013
tetapi KESAKTI tidak bersetuju bayaran RM180.00 untuk anggota K9 ke bawah.
Permohonan KESAKTI supaya dikaji semula ITP ini telah dihantar dan mendapat
reaksi positif di pihak majikan. Sama-sama kita tunggu hasilnya.
4. Penambahbaikan Caruman KWSP Syer Majikan sehingga 20%:
Lulus melalui Surat Pekeliling TH Bil. 1/2013.
5. Skim Dana Pencen:
Masih diperingkat kajian. Sebelum ini Gabungan 7 Agensi Badan
Berkanun Diasingkan (BBDS) telah mengadakan bengkel dan membuat bancian kepada
ahli-ahli BBDS untuk merealisasikannya. Bengkel berkaitan dengannya akan
diadakan dari masa ke semasa.
6. Anggota K9:
Kertas kerja mengenai penambaikan anggota
gred K9 dikaji semula telah dihantar kepada majikan. Ia dalam perhatian.
7. Skim Gaji Anggota Teknikal:
Majikan telah menerima kertas kerja
berkaitan. Beberapa surat susulan telah dihantar. Ia masih dalam perhatian
majikan.
8. Prestasi Tahunan Anggota (PMS):
Isu tahunan yang dibangkitkan setiap tahun.
Anggota tidak dinilai dengan adil. KESAKTI telah memberi perhatian serius
ketidakpatuhan majikan dalam menilai anggota yang tidak mengikut kriteria yang
ditetapkan.
Akhir kata, saya memohon maaf sekiranya
terdapat salah dan silap sepanjang memimpin KESAKTI untuk tempoh 2 tahun ini.
Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua AJK, sekretariat (2011-2013)
dan semua ahli yang telah banyak memberikan kerjasama dan sokongan demi
kejayaan KESAKTI. Saya berdoa dan berharap agar Mesyuarat Agung Dwi Tahunan
kali ke-19 ini dapat dijalankan dengan lancar dan mencapai matlamatnya. Marilah
kita jadikan perjumpaan di dalam mesyuarat agung ini sebagai satu wadah untuk
mencambah fikiran serta mencari kata sepakat secara matang dan harmoni di dalam
kita mengatur langkah dan gerak kerja.
Selamat mengundi dan bersidang.
Sekian, terima kasih.
BAHARUDIN BIN IDRIS
Presiden
Kesatuan Kakitangan Lembaga Tabung Haji
(KESAKTI)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment